
SARATOK: Seramai tujuh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Saratok menerima pingat dan reben penghargaan pada Majlis Penyampaian Pingat dan Reben APM Sarawak 2025 yang berlangsung di Mukah, semalam.
Penyampaian pingat dan reben tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Ekonomi, Dato Hanifah Hajar Taib bagi mengiktiraf jasa serta sumbangan anggota dalam melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi.
Majlis berprestij itu menghimpunkan pegawai dan anggota APM dari seluruh negeri Sarawak, bertujuan memberi pengiktirafan atas kecemerlangan dan ketabahan mereka dalam menghadapi pelbagai cabaran ketika melaksanakan tanggungjawab di lapangan.
Pegawai APM Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada tujuh anggotanya yang menerima anugerah tersebut, sambil menegaskan bahawa pengiktirafan ini menjadi bukti komitmen tinggi warga APM Saratok dalam menjaga keselamatan komuniti setempat.
Beliau turut menambah bahawa kejayaan itu menjadi pemangkin semangat kepada seluruh anggota APM untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, khususnya dalam menghadapi situasi kecemasan dan bencana di daerah Saratok.
Menurutnya, penganugerahan ini juga menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap sumbangan anggota barisan hadapan, yang sentiasa bersedia menghulurkan bantuan tanpa mengira masa dan keadaan.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran wakil-wakil daripada pelbagai agensi keselamatan dan pertahanan awam di Sarawak, yang bersama-sama meraikan kejayaan dan dedikasi anggota APM.
“Tahniah diucapkan kepada semua penerima anugerah, khususnya kepada anggota APM Daerah Saratok, atas jasa dan pengorbanan mereka dalam memastikan keselamatan, kesejahteraan serta ketenteraman masyarakat terus terpelihara,” katanya.
Oleh Adi Safarman