SEBUYAU: Petugas kesihatan yang berada di barisan hadapan merupakan antara golongan yang paling terkesan dalam menghadapi kemelut pandemik Covid-19 yang sedang melanda seluruh dunia termasuk di Sarawak.
Mereka ini bukan sahaja berkorban masa bekerja siang dan malam tetapi turut mempertaruhkan nyawa dan terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19.
Menyedari situasi yang dihadapi oleh petugas-petugas ini, Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau Datuk Julaihi Narawi dan Ahli Parlimen Batang Lupar Dato Sri Rohani Abdul Karim telah menyumbang Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) berupa 60 pasang ‘jump suit’.
“Petugas kesihatan ini adalah wira untuk semua rakyat yang perlu kita hargai jasa-jasa mereka.
“Justeru, kami di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen mengambil keputusan untuk menyumbangkan ‘jump suit’ untuk petugas-petugas ini,” kata Julaihi.
Menurut Julaihi, selain daripada topeng muka dan sarung tangan, ‘jump suit’ juga merupakan PPE yang sangat diperlukan oleh petugas kesihatan untuk melindungi diri semasa bertugas.
Sementara itu, Rohani ketika ditemui berkata, sumbangan berkenaan adalah sebagai penghargaan kepada petugas kesihatan yang telah bertungkus lumus berjuang menghadapi wabak Covid-19.
“Sumbangan ini juga adalah tanda sokongan kepada mereka yang terdedah kepada risiko jangkitan. Dengan adanya ‘jump suit’ ini diharapkan mereka dapat bertugas dalam keadaan yang tenang dan terlindung,” katanya.
Sumbangan tersebut telah disampaikan melalui Kelab Perubatan Bahagian Samarahan baru-baru ini yang akan diagihkan kepada petugas-petugas kesihatan di daerah tersebut.