


LATIHAN… PBT II Rary Binjie ketika melaksanakan Latihan Asas Menyelamat di Air & Kelangsungan Hidup di Laut yang diadakan di kolam renang Borneo Tropical Rainforest Resort hari Ini.
MIRI: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah telah melaksanakan Latihan Asas Menyelamat di Air & Kelangsungan Hidup di Laut bertempat di Borneo Tropical Rainforest Resort hari Ini.
Ketua BBP Batu Niah, PBT II Rary Binjie berkata, latihan itu bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan anggota menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
Katanya, latihan yang bermula pada 8.30 pagi hingga 2.30 petang itu melibatkan seramai 25 peserta, terdiri daripada anggota BBP Batu Niah, isteri anggota, serta kakitangan Borneo Tropical Rainforest Resort.

“Latihan ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta tentang teknik menyelamat di air secara teori dan praktikal.
“Antara fokus utama latihan ialah kaedah menyelamatkan nyawa dengan mengutamakan keselamatan diri penyelamat dan mangsa, mengenal pasti bahaya, menilai situasi, mendekati mangsa dengan cara selamat serta memberikan rawatan awal,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.


SEDIA… PBT II Rary Binjie bersama anggotanya yang menyertai Latihan Asas Menyelamat di Air & Kelangsungan Hidup di Laut yang diadakan di kolam renang Borneo Tropical Rainforest Resort hari Ini.
Tambahnya, para peserta turut didedahkan dengan penggunaan peralatan penyelamatan yang betul serta kepentingan komunikasi efektif semasa operasi dijalankan bagi memastikan penyelamatan dilaksanakan secara lancar dan berkesan.
Program ini juga menjadi platform penting dalam meningkatkan kesedaran awam terhadap keselamatan air, selain memperkukuh semangat kerjasama antara anggota bomba dan komuniti setempat, tegasnya.
Oleh Adum Liu