AUSTIN Ernst bertahan untuk memenangi Kejuaraan NW Arkansas semalam untuk gelaran Jelajah LPGA keduanya, menamatkan saingan dengan 8 bawah par 63 untuk mencatat kemenangan dua pukulan ke atas Anna Nordqvist.
Ernst, 28 dan menduduki tempat ke-58 dalam ranking dunia, mencatat 10 birdie di bawah par lapan 63 yang memberinya jumlah 54 lubang 20 – bawah par 193.
“Saya tahu saya memerlukan skor yang sangat rendah.
“Anda tahu bahawa di sini, anda perlu menyerang dan anda tidak boleh takut dan tidak boleh seperti berada di tengah green sepanjang hari.
“Saya tidak tahu secara rasmi di mana saya berdiri, tetapi saya menganggap saya berjaya mendahulu sejak sembilan lubang pertama.
“Saya baru tahu saya perlu menyerang dan membuat banyak birdie dalam sembilan lubang terakhir,” ujar Ernst.
Ernst mencatat kemenangan pertamanya sejak Portland Classic 2014.
“Sudah lama. Jauh lebih lama daripada yang saya sangka.
“Oh, rasanya seronok. Saya telah bekerja keras,” kata Ernst mengenai jurang antara kemenangan.
Manakala, Nordqvist berkata, dia menamatkan acara ini dengan perasaan positif.
“Saya bermain hebat minggu ini.
“Di sembilan lubang terakhir, (saya) banyak melakukan putt bagus, ia tidak masuk ke dalam lubang.
“Dua pukulan buruk seperti itu sedikit membunuh saya. (Tetapi saya) merasa seperti saya juga melakukan banyak perkara baik hari ini (semalam),” ujarnya.
Pemain dari Amerika Syarikat, Angela Stanford dan Nelly Korda berkongsi tempat ketiga dengan catatan 197, Stanford mencatat 65 dan Korda merekodkan 67.
Satu lagi pukulan di belakang ialah pemain dari Korea Selatan, Jenny Shin (68) dan Kim Sei-Young (69) pada 198. – AFP