KUCHING: Hari Kebangsaan 2020 yang bertemakan ‘Malaysia Prihatin’ amat bertepatan dengan aspirasi kerajaan bersama rakyat Malaysia turut memerangi musuh dewasa ini iaitu Covid-19.
Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi mengakui kerajaan juga memberi perhatian khusus kepada sektor ekonomi, kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat Malaysia.
“Semangat Malaysia Prihatin juga perlu dizahirkan semua pihak dan bukannya mereka yang bertugas di barisan hadapan sahaja,” katanya kepada pemberita semalam selepas menghadiri Unity Walk sempena Sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri di Dewan Suarah, Simanggang.
Dr Abdul Rahman menegaskan, Hari kebangsaan juga merupakan medan terbaik untuk setiap lapisan masyarakat mengukuhkan perpaduan dan mengelak daripada perpecahan.
Sambutn Hari Kebangsaan peringkat negeri yang diraikan di Simanggang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib.
Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta isteri, Datuk Amar Juma’ani Tuaku Bujang dan barisan menteri kabinet yang lain.