
MIRI: Program Hari Bertemu Pelanggan anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri yang berlangsung di Old Man Street (Persiaran Warga Emas) semalam menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai.
Menurut kenyataan Polis Daerah Miri, program itu telah disempurnakan oleh Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Abdullah adalah anjuran melalui Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti.
Katanya, sepanjang program berlangsung, beliau bersama pegawai dan anggota polis beramah mesra dengan orang awam serta mengedarkan risalah berkaitan jenayah scammer kepada para pengunjung dan pemilik premis di sekitar kawasan tersebut.
“Satu sesi ceramah kesedaran yang disampaikan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJKD) IPD Miri Insp. Huong Yeou Tay yang memberi penerangan mengenai taktik dan modus operandi sindiket penipuan dalam talian.
“Selain itu, Program Amanita turut dijalankan bagi mendaftar ahli baharu dalam kalangan suri rumah, di samping mengeratkan hubungan antara polis dan komuniti wanita,” katanya kenyataan itu.

Tambahnya, program ‘Talk To Us’ anjuran Balai Polis Pusat Miri juga menjadi tarikan, apabila orang awam diberi peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan pegawai polis serta mendapatkan panduan mengenai cara menyalurkan maklumat dengan betul.
“Objektif utama program ini adalah untuk membuka ruang interaksi secara dua hala antara PDRM dan masyarakat bagi mendengar aduan, cadangan serta pandangan berhubung perkhidmatan polis, di samping meningkatkan kepercayaan serta hubungan mesra dengan komuniti setempat.
“ACP Mohd Farhan Abdullah turut menekankan kepentingan kesedaran awam terhadap keselamatan maklumat peribadi di era digital serta menyeru masyarakat agar lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan penipuan dalam talian,” jelasnya lagi.
Program yang dihadiri lebih 120 orang itu berlangsung dengan jayanya dan mencapai matlamat untuk menggalakkan kerjasama masyarakat dalam mengekalkan keselamatan serta ketenteraman awam di daerah Miri, tambahnya.
Oleh Adum Liu