
MOSCOW: Sebutir berlian berkualiti tinggi seberat 340 karat ditemukan di tapak perlombongan di wilayah Arkhangelsk, Rusia, umum Gabenor Alexander Tsybulsky pada Isnin, lapor Xinhua.
Berlian itu merupakan antara lima berlian terbesar yang pernah ditemukan dalam sejarah moden Rusia dan yang terbesar pernah dijumpai sepanjang tempoh pembangunan industri di lombong Vladimir Grib (V. Grib), kata Tsybulsky.
Menurut beliau, berlian itu terserlah bukan sahaja kerana saiznya yang luar biasa, tetapi juga kualiti serta nilai pasarannya.
“Berlian seperti ini hanya merangkumi tidak lebih daripada dua peratus daripada keseluruhan berlian semula jadi,” katanya.
Lombong Vladimir Grib dikendalikan oleh AGD Diamonds, sebuah syarikat perlombongan berlian Rusia.
Negara itu kini merupakan pengeluar berlian terbesar di dunia dari segi jumlah, manakala wilayah Arkhangelsk merupakan antara kawasan perlombongan berlian utama di negara itu.- Bernama-Xinhua