
SIBU: Empat kenderaan terbabit dalam kemalangan berantai di hadapan Balai Polis Lanang, pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.42 pagi sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral digerakkan ke lokasi.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, Komander Operasi melaporkan kemalangan membabitkan tiga lori dan kereta Perodua Kembara.
“Kereta Perodua Kembara yang berada di hadapan pecah cermin belakang selepas dilanggar lori dari arah belakang, sebelum sebuah lagi lori di belakangnya pula terhimpit akibat dirempuh treler,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pemandu lori yang terhimpit berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan pemantauan dan memastikan keadaan selamat sebelum operasi ditamatkan pada 9.10 pagi,” katanya.
Oleh Tarani Lanting