
YAOUNDE, Cameroon: Rakyat Cameroon keluar mengundi hari ini dalam pilihan raya presiden yang menyaksikan pemimpin tertua dunia, Paul Biya sekali lagi bertanding bagi mempertahankan jawatannya, lapor agensi berita Jerman dpa.
Biya, 92, memegang tampuk pemerintahan negara pesisir Afrika Tengah itu sejak 1982. Beliau kini bersaing dengan 10 calon lelaki dan seorang calon wanita.
Cameroon merupakan sebuah negara demokrasi berbilang parti, namun aktiviti pembangkang, masyarakat sivil serta kebebasan bersuara dan media masih dikekang.
Daripada kira-kira 30 juta penduduk, hanya sekitar 8 juta rakyat Cameroon berdaftar sebagai pengundi — sedikit melebihi separuh daripada jumlah penduduk yang layak mengundi.
Keputusan rasmi dijangka diumumkan dua minggu selepas hari pengundian, dengan calon yang memperoleh undi terbanyak akan diisytiharkan sebagai pemenang.
Pada pilihan raya 2018, Biya memenangi 71 peratus undi berdasarkan keputusan rasmi, manakala pesaing terdekatnya hanya memperoleh 14 peratus.
Antara pencabar utama kali ini ialah bekas menteri dan jurucakap kerajaan, Issa Tchiroma Bakary, 76, serta bekas perdana menteri Bello Bouba Maigari, 77, yang meletak jawatan pada musim panas lalu untuk menentang Biya.
Kedua-duanya berasal dari kawasan utara negara yang mempunyai jumlah pengundi terbesar.
-Bernama