
KUCHING: Ribuan rakyat pelbagai kaum membanjiri Padang Merdeka malam tadi bagi menyaksikan Konsert Rakyat 2025, yang berlangsung penuh warna-warni dan meriah sempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-79 Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Konsert bermula 8.00 malam, pentas utama disinari cahaya dan sorotan visual memukau dengan persembahan daripada barisan artis popular tanah air seperti Black, Adelynna, Mawat, Aman Ra, Amir Masdi, Apet Hafitz, Roxy Ixzy, Keeyushee, sebelum kemuncak malam ditutup oleh kumpulan lagenda Exists.

Sorakan penonton bergema sejak persembahan pembukaan, dengan setiap artis membawa keunikan tersendiri.
Daripada lontaran vokal berkuasa Black hingga ke rap dinamik Aman Ra yang membuat penonton berdiri dan bersorak mengikuti rentak.

Suasana malam semakin hangat apabila langit Kuching diterangi dengan percikan bunga api berwarna-warni, mencipta detik simbolik kemakmuran dan perpaduan rakyat.
Dentuman bunga api yang bergema di udara menambah keindahan suasana sebelum segmen persembahan diteruskan oleh artis tempatan termasuk Roxy Ixzy dan Mawat.

Antara yang paling mencuri perhatian ialah Mawat, penyanyi muda kelahiran Sarawak yang memukau penonton dengan lagu popularnya ‘Dayang Bintang’.
Sejak dilancarkan pada Mei lalu, lagu itu menjadi siulan ramai dan terus menonjolkan bakat besar penyanyi muda tersebut di pentas utama negeri.

Menjelang penghujung acara, suasana semakin memuncak apabila kumpulan lagenda Exists mengambil alih pentas.
Ribuan penonton bersorak, mengayun tangan dan turut sama menyanyikan lagu popular mereka, menjadikan persembahan penutup itu antara momen paling dinanti malam tersebut.


Kumpulan lagenda Exists menutup tirai Konsert Rakyat 2025 dengan persembahan penuh nostalgia, disambut sorakan dan nyanyian bersama ribuan peminat. Foto Adele Rissa
Diserikan dengan kesan cahaya, paparan skrin gergasi dan sorakan penonton yang tidak henti-henti, Konsert Rakyat 2025 bukan sahaja menjadi pentas hiburan, tetapi juga lambang kasih dan kebanggaan rakyat terhadap Sarawak.
Anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama pelbagai agensi, konsert berkenaan berjaya menzahirkan semangat kebersamaan rakyat yang hadir bersatu meraikan hari istimewa Tun Wan Junaidi dalam suasana harmoni dan penuh kegembiraan.
Oleh Adele Rissa & Amanda L.