Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Semangat dan disiplin TBBC cerminan masa depan tinju Sarawak
  • Tengah
  • WILAYAH

Semangat dan disiplin TBBC cerminan masa depan tinju Sarawak

Utusan Sarawak 1 week ago
 PENYAMPAIAN cenderahati kepada barisan jurulatih yang telah menabur bakti kepada TBBC Sri Aman. Foto: Adi Safarman

SIMANGGANG: Ketua Jurulatih Tinju Sarawak, Mohamad Helman Morni, berasa bangga melihat semangat dan disiplin ahli Kelab Tinju Tidal Bore Sri Aman (TBBC) yang menjadi tunjang melahirkan juara baharu sukan tinju negeri.

Beliau berkata, keyakinan itu bukan sekadar harapan kosong, tetapi lahir daripada semangat juang dan pengorbanan seluruh warga TBBC yang tidak pernah mengenal erti putus asa.

“Saya yakin dan percaya, dari kelab Tinju Tidal Bore Sri Aman (TBBC) inilah akan lahir lebih ramai juara. Juara bukan sahaja di atas gelanggang, tetapi juga juara dalam kehidupan sebenar,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Penghargaan TBBC Sri Aman, dekat sini malam ini.

Helman yang juga figura penting dalam pembangunan tinju Sarawak berkata, setiap peluh, air mata dan keringat para atlet serta jurulatih merupakan bukti keberanian dan keazaman yang tidak ternilai.

“Tinju bukan sekadar bertumbuk. Tinju adalah tentang ketahanan, tentang bagaimana kita mampu bangkit setiap kali kita jatuh. Yang menjadikan seseorang itu juara bukanlah berapa kali dia menang, tetapi berapa kali dia mampu bangkit selepas tewas,” ujarnya.

Menurutnya, kejayaan TBBC tidak mungkin tercapai tanpa sokongan kuat daripada para jurulatih, atlet, ibu bapa dan seluruh komuniti Sri Aman yang menjadi tulang belakang kepada kelab tersebut.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) serta Persatuan Tinju Negeri Sarawak atas kepercayaan dan kerjasama dalam usaha memajukan sukan tinju ke peringkat lebih tinggi.

Mengenang kembali detik awal perjuangan tinju di Sri Aman, Helman berkongsi kisah peribadi bagaimana sukan itu mula berakar di tanah kelahirannya sejak tahun 2000, waktu di mana tinju hampir tidak dikenali di daerah itu satu ketika dahulu.

“Dulu, gelanggang pun ala kadar, tidak ada kelab, dan ramai tidak percaya sukan ini boleh pergi jauh. Tapi dari rasa ingin tahu, lahirlah semangat untuk mencuba,” katanya, mengimbas kenangan ketika mula berlatih bersama jurulatih Antony Amit dan rakan seperjuangan, Kamaruddin Mohammad, yang kini menjadi Ketua Jurulatih TBBC.

Selepas melalui pelbagai cabaran dan kejatuhan, Helman kembali pada 2015 sebagai jurulatih dengan tekad menghidupkan semula semangat tinju di Sri Aman. Usahanya membuahkan hasil apabila muncul bakat luar biasa seperti Daeloniel McDelon, atau lebih dikenali sebagai Kilat Boy ikon tinju negara yang menjadi simbol kebangkitan Sri Aman.

“Hari ini, bila saya pandang ke belakang, saya tersenyum. Bukan sebab saya berjaya, tapi sebab saya masih di sini, masih berjuang dan masih melihat bakat-bakat baharu meneruskan apa yang pernah kita mulakan dulu,” katanya.

Helman turut menasihati para peninju muda agar tidak mudah berpuas hati dengan kejayaan awal, sebaliknya terus menimba ilmu dan membina sahsiah diri yang kukuh.

“Jadilah petinju yang bukan sahaja kuat di gelanggang, tetapi juga hebat dalam akademik, disiplin, akhlak dan tanggungjawab. Hormati jurulatih, rakan sepasukan dan lawan anda – kerana tanpa mereka, kita tidak akan jadi siapa kita hari ini,” pesannya.

Dalam majlis itu, beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada ikon tinju negara, Daeloniel McDelon, atas penganugerahan Ahli Bintang Sarawak (ABS) sempena sambutan ulang tahun ke-79 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, hari ini.

“Anugerah ini bukan sahaja pengiktirafan kepada Daeloniel, tetapi juga bukti bahawa Sri Aman mampu melahirkan juara bertaraf negara,” tambahnya.

Mengakhiri ucapannya, Helman menegaskan bahawa perjuangan TBBC masih jauh dari selesai.

Baginya, setiap langkah kecil yang diambil oleh kelab itu membawa makna besar buat masa depan tinju Sarawak.

“Selagi ada semangat, disiplin dan keyakinan, saya percaya TBBC akan terus berdiri sebagai pusat lahirnya juara di gelanggang dan dalam kehidupan,” katanya.

Turut hadir, Presiden TBBC Sri Aman Awangku Hafizi Awang Azahari, ikon tinju negara Kilat Boy, Ketua Jurulatih TBBC Kamaruddin Mohamad, Setiausaha TBBC Subhi Ahmad serta barisan jurulatih Sarawak dan TBBC Sri Aman.

Oleh Adi Safarman

Continue Reading

Previous: TBBC Sri Aman terus unggul, lahirkan bakat tinju bertaraf kebangsaan
Next: Satu titik darah, sejuta harapan: Kelab Lions anjur kempen derma darah di Sibu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.