

TERSEPIT… Anggota bomba mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit di celah besi penutup longkang di Jalan Sirih, malam tadi. Foto BBP Sarikei
SARIKEI: Seorang wanita berusia 57 tahun cemas apabila kakinya tersepit di celah besi penutup longkang di Jalan Sirih, malam tadi.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Arrahman Chik, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar 8.08 malam.
“Sepasukan bomba bergerak ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.
“Setibanya di lokasi, didapati kaki wanita tersebut masih tersepit di celah besi penutup longkang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, pasukan bomba menggunakan peralatan khas untuk merenggangkan penutup besi tersebut.
“Pasukan bomba berjaya mengeluarkan kaki mangsa dari celah besi tersebut tanpa sebarang kecederaan pada mangsa.
“Operasi di lokasi selesai sepenuhnya pada 8.20 malam,” katanya.
Oleh Earl Anek