Bas musnah dalam kebakaran di Jalan Lutong–Kuala Baram

Facebook
WhatsApp
MUSNAH…Keadaan bas tersebut musnah selepas terbakar dalam kejadian di kawasan tanah lapang berhampiran Batu 4, Jalan Lutong–Kuala Baram di Miri malam tadi.

MIRI: Sebuah bas yang diparkir di kawasan tanah lapang berhampiran Batu 4, Jalan Lutong–Kuala Baram di sini musnah dalam kebakaran yang berlaku malam tadi.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, Henry Jugah  pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut 10.06 malam.

Katanya, sepasukan bomba  bergegas ke lokasi sejauh lapan kilometer dan tiba pada 10.14 malam.

“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati sebuah bas sedang marak terbakar. Pasukan Keluaran Operasi (PKO) segera bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran 300 kaki dengan sumber air dari pam jentera,” katanya di sini.

Beliau berkata, kebakaran itu mengakibatkan bas tersebut musnah 80 peratus. Operasi itu ditamatkan sepenuhnya pada 10.40 malam. Tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu, manakala punca serta anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.

Oleh Liong Chai Ling