
MARUDI: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual melancarkan Projek Jalan Miri–Marudi–Mulu (Kuala Melinau)–Long Panai dan Long Lama (MMMLL) pada 15 November depan.
Majlis pelancaran akan diadakan di tapak pembinaan Kawasan Perindustrian Ringan Marudi (Marudi Light Industrial Area).
Timbalan Pengerusi Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) Datuk Gerawat Gala berkata, pelbagai persiapan sedang dijalankan bagi memastikan kelancaran majlis pelancaran yang melibatkan kerjasama pelbagai agensi dan komuniti setempat.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan majlis tersebut di Bilik Mesyuarat Majlis Daerah Marudi (MDM) hari ini.
Menurut Gerawat, projek MMMLL merupakan salah satu projek infrastruktur utama kerajaan Sarawak di kawasan Baram, melibatkan pembinaan jalan sepanjang kira-kira 142 kilometer (km) dan laluan cabang (spur road) sejauh 33 km.
“Laluan utama projek ini terdiri daripada dua pakej iaitu Pakej 1 (Miri ke Marudi dan Long Panai ke Long Lama) sepanjang lebih kurang 68 km, manakala Pakej 2 (Marudi ke Mulu) melibatkan jarak sekitar 74 km,” jelasnya.
Tambah beliau, sebanyak 14 jambatan kecil dan sembilan jambatan utama turut dirancang bagi mempertingkat jaringan perhubungan jalan raya dan aksesibiliti ke kawasan pedalaman di utara Sarawak.
“Apabila siap kelak, projek ini dijangka memperkukuh hubungan antara bandar-bandar utama di Sarawak, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada komuniti luar bandar di Baram. Ia selaras dengan strategi pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030,” katanya.
Datuk Gerawat menegaskan bahawa projek MMMLL akan menjadi pemangkin pembangunan sosioekonomi serta pelancongan, terutamanya di kawasan pelancongan popular seperti Mulu.
“Projek ini akan memberi impak besar kepada penduduk Baram dengan memudahkan pergerakan, meningkatkan akses kepada perkhidmatan asas seperti pendidikan dan kesihatan, serta merangsang aktiviti ekonomi,” katanya.
Sementara itu, ADUN Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil berkata, pelaksanaan projek ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dan RECODA melalui HDA untuk memastikan pembangunan seimbang di semua wilayah.
“Projek MMMLL bukan sekadar pembinaan jalan raya. Ia adalah tentang membuka peluang, menyambungkan komuniti dan memastikan rakyat luar bandar turut menikmati kemajuan dan kemudahan moden,” ujarnya.
Majlis pelancaran turut akan diserikan dengan pelbagai aktiviti melibatkan masyarakat setempat, termasuk persembahan kebudayaan oleh pelbagai suku kaum dari kawasan Baram.
Projek MMMLL dijangka siap sepenuhnya menjelang 2030.
Turut hadir, Pengarah Perkhidmatan Korporat RECODA Dr Hadysyam Junaidi, dan wakil Bahagian Pengurusan Pembinaan RECODA, Edward Matthew.
Oleh Jiku Juguong