TONGGAK Juventus Cristiano Ronaldo memberitahu semangat dan cita-citanya tetap membara dalam misi mengatasi rekod dan ‘menakluki’ dunia dalam saingan musim depan.
Penyerang Portugal itu menang ‘Scudetto’ keduanya bersama Juventus, menjaringkan dua gol menentang Lyon walaupun gergasi Itali tersingkir daripada Liga Juara-Juara.
“Saya bersedia untuk musim ketiga sebagai ‘Bianconero’, semangat dan cita-cita saya tetap tinggi,” kata pemain bertaraf bintang berusia 35 tahun itu di Instagram.
“Jaringan, kemenangan, gol, komitmen, profesionalisme.
“Dengan semua kekuatan saya, bantuan berharga daripada rakan sepasukan dan petugas Juventus, kami akan sekali bekerjasama untuk menakluk Itali, Eropah dan dunia! Atasi rekod.”
Bekas bintang Itali dan Juventus, Andrea Pirlo menggantikan Maurizio Sarri sebagai jurulatih dengan kelab menyasarkan gelaran liga kesepuluh berturut-turut pada 2021.
namum kegagalan mereka dalam kempen Liga Juara-Juara yang kali terakhir dimenangi pada 1996 menjadi detik duka buat pemenang lima kali kejuaraan, Ronaldo yang berpindah daripada Real Madrid dengan harga 100 juta euro pada 2018 khusus untuk membantu kelab menjulang trofi.
“Atasi halangan,” kata Ronaldo mengenai hasrat musim depan yang bermula 19 September.
“Menang gelaran dan kumpul jaringan peribadi. Lakukannya lebih lagi dan bertambah baik sekali lagi. Berjaya hadapi semua cabaran yang bakal mendatang.
“Kami adalah Juventus! Kami juara! Kami kembali dan bertambah kuat! Kami tunggu anda. Semuanya. Fino Alla Fine!”
Ronaldo mencipta sensasi musim lalu apabila menjadi pemain pertama menjaringkan sepuluh atau lebih gol dalam Liga Juara-Juara bersama tiga kelab berbeza.
Dia turut muncul pemain pertama meledak 50 gol atau lebih di Liga Perdana, La Liga dan Serie A selain yang pertama menjaringkan 30 gol atau lebih semusim dalam tiga daripada lima liga utama Eropah.
Ronaldo menyamai satu lagi rekod Serie A apabila menjaringkan gol dalam 11 perlawanan berturut-turut, berkongsi catatan dengan Gabriel Batistuta dan Fabio Quagliarella.
Keseluruhannya, dia menjaringkan 37 gol dalam semua kejohanan yang juga rekod baharu pemain Juventus dalam satu kempen.
Tetapi dia yang meledak 31 gol ketinggalan di belakang pemain Lazio, Ciro Immobile yang meledak 36 gol dalam carta penjaring terbanyak Serie A.-AFP