
LAWAS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Lawas telah mengadakan satu program lawatan kebajikan bagi menyantuni pesara polis.
Dalam program yang berlangsung semalam, PDRM Lawas telah berkunjung ke kediaman Sarjan Inspektor (Bersara) Sedi Resit @ Zaidie Abdullah, 63, bagi menzahirkan penghargaan atas jasa dan sumbangan beliau semasa dalam perkhidmatan.
Lawatan tersebut diadakan di kediaman beliau yang terletak di Kampung Batu 2, Jalan Gelugus, Lawas pada sebelah petang.
Anggota dan pegawai yang terlibat dalam lawatan ini adalah Insp Muhammad Akmal Hakim Muhamad Noor (BSJD Lawas), Sjn Azmi Abdullah (P/KBIPS Lawas), Sjn Mahani Tassim (HEA/HEPP Lawas), Sjn/D. Jamil Fernandez @Mohamad (BSJD Lawas), L/Kpl Mohd Noor Azizwan Azanan (Blog-Pengangkutan) dan Dygku Siti Fauziah Awgku Adenan (Pengurusan-PR).

Inspektor Muhammad Akmal memaklumkan bahawa lawatan kebajikan ini bertujuan mengukuhkan hubungan silaturahim antara PDRM dan pesara polis, di samping meningkatkan integrasi sosial dalam kalangan komuniti setempat.
Menurut beliau, program seperti ini juga mencerminkan keprihatinan PDRM terhadap kebajikan para pesara dengan menyalurkan bantuan yang diperlukan serta menghargai jasa dan pengorbanan mereka semasa berkhidmat dalam pasukan keselamatan negara.
Selain menyampaikan kata-kata semangat kepada keluarga pesara, lawatan ini turut disertakan dengan penerangan mengenai bantuan yang disediakan melalui Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP), serta panduan penggunaan sistem e-Pesara bagi memohon kemudahan yang ditawarkan.
Pesara dan ahli keluarganya turut memaklumkan bahawa mereka kini lebih jelas dan faham mengenai bentuk bantuan yang tersedia melalui TAWP dan cara mengaksesnya melalui sistem e-Pesara.
Program ini merupakan salah satu inisiatif PDRM bagi memastikan kebajikan pesara polis terus terjaga dan jasa mereka sentiasa dihargai.
Oleh Adeng Edrus