
SARIKEI: Perarakan tanglung menceriakan sambutan Perayaan Kuih Bulan di Tokong Fu Gui Ting memperlihatkan keindahan budaya dan semangat kebersamaan komuniti setempat, baru-baru ini.
Hadir untuk mewakili Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato Sri Huang Tiong Sii ialah Pemanca Chan Phan Chan.
Dalam ucapannya, Tiong Sii menyifatkan Perayaan Kuih Bulan sebagai lambang kebersamaan keluarga, keharmonian masyarakat dan perpaduan kaum di Sarawak.
“Budaya turun-temurun ini wajar dipelihara kerana ia memperkukuh hubungan kejiranan dan memupuk semangat hidup harmoni.
“Perayaan Kuih Bulan mengajar kita tentang pentingnya kesatuan keluarga, keharmonian komuniti dan perpaduan masyarakat majmuk.
“Seperti kata pepatah Cina, ‘Semoga insan panjang umur, walau jauh tetap berkongsi sinaran bulan yang sama’, ia mengingatkan kita untuk terus menjaga silaturahim dan nilai kebersamaan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok.
Katanya, kerajaan Sarawak sentiasa menyokong perkembangan agama kerana ia membina masyarakat yang aman dan harmoni.
Tiong Sii turut berkongsi bahawa dalam proses pembinaan Tokong Fu Gui Ting, beliau menyalurkan peruntukan melalui Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan dana daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) yang keseluruhannya melebihi RM2 juta bagi memastikan kemudahan ibadat yang selesa dan indah dapat dibina untuk masyarakat setempat.
“Bangunan tokong yang megah dan indah ini bukan sahaja menarik lebih ramai penganut untuk beribadat, malah berpotensi menjadi destinasi pelancongan baharu yang membanggakan Sarikei.
“Terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pengurusan Tokong Fu Gui Ting kerana gigih memelihara budaya dan mengeratkan perpaduan komuniti dengan menganjurkan program bermakna seperti ini, sekali gus memberi peluang kepada generasi muda mengenali akar budaya mereka,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau menyatakan keyakinan bahawa Sarawak akan terus menikmati kestabilan politik dan ekonomi di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang sentiasa memperjuangkan kemajuan dan kemakmuran negeri.
Oleh Earl Anek