
KUCHING: Rumah kosong musnah hampir 70 peratus dalam kebakaran berhampiran Boulevard Batu 4, di sini, petang tadi.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan diterima pada 1.27 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang digerakkan ke lokasi kejadian dengan bantuan daripada BBP Kota Sentosa.
Komander operasi, PBK I Kana Tawi berkata, kebakaran melibatkan rumah setingkat jenis simen yang didapati kosong dan tidak berpenghuni.

“Setibanya pasukan di lokasi, api sedang marak dan rumah tersebut telah terbakar kira-kira 70 peratus.
“Tiada mangsa atau kecederaan dilaporkan,” katanya.
Kebakaran berjaya dikawal pada 2.03 petang serta punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.