
KAPIT: Pasukan Bomba dan Penyelamat menjalankan khidmat khas mengangkat mayat seorang lelaki yang ditemukan terapung di Sungai Batang Rajang, tengah hari tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai penemuan mayat itu pada 11.58 pagi.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit telah digerakkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba melakukan pencarian ke arah hilir sungai dan berjaya menemukan mayat lelaki yang terapung kira-kira lima kilometer dari Pasar Kapit,” katanya dalam kenyataan hari ini.


PASUKAN BOMBA… Anggota bomba menjalankan khidmat khas mengangkat mayat lelaki yang ditemukan terapung di Sungai Batang Rajang, tengah hari tadi. Foto PGO Bomba Sarawak
Mayat berkenaan kemudian dinaikkan oleh pasukan bomba dengan bantuan anggota polis dan dimasukkan ke dalam beg mayat untuk dibawa ke Jeti Waf Bleteh.
“Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat sepenuhnya pada 12.42 tengah hari,” ujarnya.