
SIBU: Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP) Cawangan Bawang Assan menyantuni penduduk di kawasan Sungai Sadit hari ini menerusi program lawatan rumah ke rumah sempena sambutan Perayaan Kuih Bulan yang bakal tiba tidak lama lagi.
Program itu diketuai oleh Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie, bersama barisan kepimpinan cawangan berkenaan.
Menurut Lau, pendekatan turun padang secara langsung ini mengambil masa dan hanya dapat melibatkan beberapa buah keluarga pada satu-satu masa, namun tetap dianggap sangat bermakna.


MENYANTUNI PENDUDUK… Kevin Lau mengetuai pasukan SUPP Cawangan Bawang Assan menyantuni penduduk di Sungai Sadit sempena Perayaan Kuih Bulan.
“Cara ini membolehkan kami berinteraksi secara bersemuka dengan penduduk, memahami keadaan hidup mereka dengan lebih dekat serta membina hubungan yang lebih erat dan penuh kepercayaan,” katanya.
Beliau menambah, kunjungan tersebut bukan sahaja menjadi medan membincangkan isu setempat, malah turut memberi ruang untuk berkongsi pandangan, bertanya khabar dan mengeratkan silaturahim.
“Melalui pertemuan begini, kami dapat menyampaikan keprihatinan dan sokongan kepada masyarakat, selain mendengar sendiri kisah dan pengalaman mereka yang amat berharga,” ujarnya.
Lau berharap program sebegini dapat menyemarakkan semangat perpaduan serta membawa kegembiraan sempena musim perayaan.


MENYANTUNI PENDUDUK… Kevin Lau mengetuai pasukan SUPP Cawangan Bawang Assan menyantuni penduduk di Sungai Sadit sempena Perayaan Kuih Bulan.
“Kuih bulan melambangkan keharmonian dan kesejahteraan. Kami berharap setiap keluarga dapat merasai kegembiraan dan kedamaian pada musim perayaan ini,” katanya lagi.
Sepanjang program tersebut, pasukan SUPP telah mengunjungi 12 buah rumah di Sungai Sadit sambil mengedarkan kuih bulan dan menyampaikan ucapan perayaan kepada penduduk.
Turut hadir Penghulu Wong Ung, Kapitan Chew Hoo Kiong, Kaunselor Yong Ing Hock, Kaunselor Justin Wong Sing Ing, Kaunselor Rory Wong, Tang Teong Hock serta ahli-ahli parti lain.
Oleh Akun Giman