NUR AIN OTSMAN
KUCHING: Sarawak semalam merekodkan lima lagi kes baharu positif Covid-19, menjadikan jumlah bilangan kes di Sarawak sebanyak 408 kes sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac lalu.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kesemua lima kes tersebut dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS).
“Manakala, sebanyak 99 kes baharu Orang Dibawah Siasatan (PUI) dilaporkan dan 95 kes PUI masih menunggu keputusan makmal,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Ujar Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) itu lagi, semalam terdapat tujuh lagi kes positif telah sembuh dan discaj dari hospital menjadikan jumlah keseluruhan kes adalah 64.
“Daripada tujuh kes positif yang sembuh itu, lima kes dari HUS dan dua kes di Hospital Sibu,” tambahnya.
Pasukan Bertindak Pertama mengenai mempercepatkan pendataran lengkung atau keluk (Gelombang Semasa) atau Accelerating Flattening of the Curve (Current Wave) telah menyediakan pelan tindakan dalam usaha mengurangkan kes positif Covid-19 di Sarawak.
“Tindakan pertama yang akan diambil adalah untuk mengenal pasti semua kontak rapat kes positif Covid-19 yang belum disaring agar mereka tampil untuk menjalani ujian saringan dengan kadar segera,” jelasnya.
Pasukan Bertindak ini akan menjalankan aktiviti mengesan dan mengenal pasti semua kontak di bahagian Kuching terlebih dahulu, memandangkan bilangan yang terbesar terdapat di bahagian tersebut.
“Sehingga hari ini (semalam), Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengenalpasti seramai 6,022 kontak di bahagian Kuching.
“Daripada bilangan tersebut pula, seramai 3,538 orang telah menjalani ujian saringan, manakala seramai 2,484 orang masih belum lagi menjalani ujian.
“Oleh kerana amat penting bagi semua kontak disaring dalam memastikan rantaian jangkitan dapat diputuskan dan diharap memberi impak yang positif dalam meratakan lengkung, maka, kesemua kontak yang belum lagi menjalani ujian saringan akan dihubungi dan diminta datang untuk menjalani ujian saringan,” tambahnya lagi.
JPBNS ingin memaklumkan bahawa pegawai dari Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak akan menghubungi kontak yang telah dikenal pasti tersebut melalui panggilan telefon mulai Isnin, 20 April untuk memberi arahan yang perlu mereka ambil tindakan seterusnya.
“Adalah menjadi harapan agar semua kontak berkaitan memberi kerjasama yang baik untuk menjawab panggilan telefon yang akan dibuat nanti dan mematuhi semua arahan yang diberikan,” katanya lagi.