KOTA BHARU: Nasib gelandangan di sekitar Kota Bharu mendapat perhatian badan bukan kerajaan (NGO) apabila mereka diziarahi dan diberikan makanan percuma serta barangan keperluan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengerusi Misi Kemanusiaan Gelandangan Dr Johari Yap berkata, seramai 30 gelandangan yang ada berdekatan Masjid Muhammadi dan Pasar Siti Khadijah menjadi perhatian berikutan kesukaran mereka mempunyai tempat tinggal dan makan.
“Misi Kemanusiaan Gelandangan merupakan program anjuran Yayasan Kaseh Kanser & Kronik (YKKK) dengan kerjasama Volunteer I Care, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Cawangan Kelantan dan Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) dalam membantu golongan kurang bernasib baik ini.
“Kami terpanggil untuk membantu menyelesaikan masalah jangka pendek bagi golongan gelandangan ini dengan membekalkan makanan seperti nasi lemak, roti dan biskut serta minuman memandangkan tidak banyak kedai makan yang beroperasi ketika PKP ini,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Johari berkata, pihaknya juga turut menyediakan kit kebersihan seperti tuala mandi, sabun, berus gigi dan ubat gigi sumbangan sebuah pasar raya kepada gelandangan yang turut terdedah dengan jangkitan wabak Covid-19.
Mengulas lanjut Johari berkata, antara barangan lain yang disumbangkan daripada NGO terbabit ialah selimut, penutup mulut dan hidung, cecair pembasmi kuman serta pakaian terpakai sebagai persalinan golongan gelandangan ini.
“Sebelum disampaikan sumbangan tersebut, setiap golongan gelandangan ini akan diberi penerangan mengenai bahaya wabak Covid-19, malah digalakkan untuk menjaga kebersihan diri seperti kerap mencuci tangan serta mengamalkan penjarakan sosial.
“Ini kerana, mereka tidak mempunyai telefon bimbit, tidak menonton televisyen dan mungkin juga tidak membaca surat khabar, jadi kebanyakan daripada mereka tidak sedar betapa bahayanya wabak Covid-19 ini jika dijangkiti, lebih-lebih lagi bagi mereka yang berusia. Kebanyakan mereka berumur antara 40 tahun hingga 70 tahun,” katanya.
Johari berkata, bagi menyelesaikan masalah jangka panjang pula, gelandangan berminat akan ditempatkan di penempatan sementara sehingga tamat PKP, kecuali mereka yang mempunyai masalah mental atau terbabit dengan penyalahgunaan dadah.
Katanya, mereka yang layak boleh dimasukkan ke Rumah Seri Kenangan di Pengkalan Chepa dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun ada juga yang mahu kekal tinggal sebagai gelandangan kerana tidak mahu terikat atau dikongkong. “Bagi gelandangan yang masih belia pula mereka ditawarkan duduk di Min House Camp Kubang Kerian dan disediakan pekerjaan dalam bidang pertanian di situ,” katanya. – BERNAMA