
KOTA SAMARAHAN: Usaha murni Yayasan Jantung Sarawak terus mendapat sokongan apabila beberapa peralatan perubatan diserahkan kepada Pusat Jantung Sarawak dan Hospital Umum Sarawak hari ini.
Majlis penyerahan disempurnakan oleh Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian di Pusat Jantung Sarawak pada pagi tadi.
Antara peralatan yang disumbangkan untuk Pusat Jantung Sarawak ialah sebuah sistem Ekokardiografi Doppler berwarna bernilai RM448,000, dua unit mesin ECG bernilai RM4,200 serta dua unit peranti pemantau tanda-tanda vital bernilai RM5,676.
Peralatan berkenaan adalah hasil sumbangan daripada The Church of Jesus Christ of Latter-day Saints yang diwakili Elder Roger Walker.



ANTARA peralatan yang disumbangkan untuk Pusat Jantung Sarawak ialah sebuah sistem Ekokardiografi Doppler berwarna bernilai RM448,000, dua unit mesin ECG bernilai RM4,200 serta dua peranti pemantau tanda-tanda vital bernilai RM5,676.
Sementara itu, Hospital Umum Sarawak menerima dua unit defibrilator bernilai RM42,000 hasil sumbangan Dayacop Security Services Sdn Bhd dan Yayasan Jantung Sarawak.
Menurut Dr Sim, inisiatif pengumpulan dana yang dilaksanakan oleh Yayasan Jantung Sarawak membuktikan kerjasama erat pelbagai pihak dalam memastikan kelengkapan perubatan sentiasa dipertingkat demi manfaat rakyat.
“Bantuan seperti ini memberi kesan besar kepada mutu rawatan kerana ia membolehkan doktor menggunakan teknologi terkini untuk merawat pesakit,” katanya.
“Sumbangan ini akan memberi manfaat bukan sahaja kepada pesakit jantung, tetapi juga kepada seluruh rakyat Sarawak yang memerlukan rawatan kecemasan dan rawatan susulan.”
Usaha berterusan Yayasan Jantung Sarawak itu jelas menunjukkan komitmen padu dalam memperkukuh keupayaan sistem kesihatan negeri ini.
Dengan adanya sokongan daripada pelbagai pihak termasuk organisasi keagamaan dan swasta, rakyat Sarawak diyakini akan terus menikmati kemudahan rawatan bertaraf tinggi sejajar dengan matlamat kerajaan meningkatkan kesejahteraan kesihatan masyarakat.