
KOTA SAMARAHAN: Pusat Jantung Sarawak menerima sumbangan penting berupa mesin echocardiology, monitor tanda vital serta mesin ECG hasil kerjasama Sarawak Heart Foundation dan The Church of Jesus Christ of Latter-day Saints sekali gus memperkukuh keupayaan rawatan penyakit jantung di negeri ini.
Majlis penyerahan peralatan tersebut disempurnakan oleh Elder Roger Walker bersama isterinya, Sister Pam Walker dan Pengurus Kemanusiaan, Eugene Chua.
Menurut Roger, beliau dan keluarga telah berkhidmat di Malaysia sejak 18 bulan lalu khususnya di Kuching serta berasa amat dihargai dengan sambutan mesra masyarakat tempatan.
“Gereja kami telah lama menabur bakti dalam usaha kemanusiaan di Malaysia sejak 1974, terutamanya dalam bidang kesihatan. Antara keutamaan kini ialah program air bersih, pemulihan bencana dan projek kesihatan,” katanya.
Beliau berkata, ajaran gereja yang menekankan nilai kasih sayang sesama manusia menjadi pendorong kepada usaha berterusan membantu masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.
“Dana yang disalurkan kali ini membolehkan Pusat Jantung Sarawak memperoleh mesin ekokardiografi julat sederhana (Mid-Range Echo machine), monitor tanda-tanda vital dan mesin ECG. Peralatan ini akan membantu doktor dan kakitangan menyelamatkan lebih banyak nyawa rakyat Sarawak dan negeri-negeri sekitarnya,” jelasnya.
Roger turut menegaskan penyakit jantung kekal sebagai punca utama kematian bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia justeru inisiatif seumpama ini amat penting dalam meningkatkan taraf kesihatan masyarakat.
Sementara itu, Sarawak Heart Foundation menyambut baik sokongan berterusan daripada rakan kerjasama antarabangsa yang dilihat mampu menambah baik keupayaan rawatan di pusat kesihatan negeri ini.
Dengan adanya sumbangan peralatan moden, masyarakat Sarawak diyakini bakal mendapat akses perkhidmatan kardiologi yang lebih cepat, tepat dan menyeluruh sejajar usaha kerajaan meningkatkan taraf kesihatan rakyat.
Oleh Norman B