
BINTANGOR: Lima orang lelaki dipercayai terlibat dalam beberapa kes pecah rumah di kawasan Sungai Bian berjaya diberkas polis hasil siri serbuan di beberapa lokasi sekitar Daerah Meradong pada 25 dan 26 September lalu.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering, berkata kejayaan itu hasil tindakan pantas Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong selepas menerima laporan berhubung kes pecah rumah yang dilaporkan sebelum ini.
“Hasil siasatan keatas kelima-lima suspek telah berjaya menemui beberapa barang yang telah dicuri.
“Ujian air kencing ke atas kesemua suspek turut dijalankan dan mendapati mereka positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, kesemua suspek ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah.
“Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan juga boleh dikenakan denda. Tertangkapnya kelima-lima suspek, kes ini dikasifikasikan selesai,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga ketika meninggalkan harta dan kediaman terutama ketika tempoh cuti panjang kerana kes pecah rumah boleh berlaku dalam sekelip mata jika aspek keselamatan diabaikan.
Oleh Earl Anek