
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah menerima kunjungan hormat daripada Leftenan Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Datuk Johnny Lim Eng Seng di Astana Negeri, hari ini.
Pada kunjungan tersebut, Leftenan Jeneral Datuk Johnny Lim telah menjelaskan kepada Tun Wan Junaidi mengenai visi memperkukuh kesiapsiagaan dan pertahanan ATM dengan menekankan kepentingan disiplin serta semangat patriotisme dalam kalangan generasi baharu.
Leftenan Jeneral Datuk Johnny Lim turut menzahirkan penghargaan kepada Tun Wan Junaidi atas bimbingan yang diberikan ketika menyampaikan syarahan bertajuk ‘Practice of Good Governance: A Perspective’ sempena Majlis Diners Club Maktab Ketahanan Nasional (NRC) tahun lepas.

Syarahan tersebut membincangkan isu keselamatan dan tadbir urus negara, di mana Tun Wan Junaidi merupakan salah seorang Penceramah Unggul di NRC.
Pengalaman berkhidmat selama 12 tahun di Sarawak merupakan sebahagian daripada dedikasi dan komitmen beliau sepanjang 41 tahun perkhidmatan, yang membawa kepada kenaikan pangkat sebagai Leftenan Jeneral pada Jun lalu.

Semasa kunjungan tersebut, buku mengenai sejarah ketenteraan yang menghimpunkan pengalaman veteran, dokumentasi perang serta tradisi kepimpinan tentera telah disampaikan oleh Leftenan Jeneral Datuk Johnny Lim kepada Tun Wan Junaidi.
Hadir sama Ketua Pengarah Kesihatan Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (MK PMTTD), Brigedier Jeneral (Dr) Saiful Anuar Ju @ Ju Ahmad. -JAPEN