KUCHING: Kerajaan persekutuan digesa untuk mempertimbangkan semula Rancangan Nasional dalam menerapkan norma-norma Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) di Sarawak atas faktor demografi kata Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu menyatakan landskap Sarawak yang memiliki banyak empangan hidroelektrik dan rumah panjang di kawasan terpencil serta mempunyai industri petrokimia yang besar perlu diambil kira semasa kerajaan Persekutuan menetapkan norma terbabit.
“Itulah sebabnya ketika datang ke Sarawak, kerajaan persekutuan perlu mempertimbangkan semula rancangan nasional di mana mereka tidak harus menyamai rancangan nasional mereka atas kehendak sendiri,
“Ia perlu diubah kerana demografi dan keadaan kita yang berbeza,” katanya ketika merasmikan penyerahan kenderaan dan peralatan Bomba di markas Bomba di Jalan Setia Raja semalam.
Dr. Sim mengakui landskap negeri ini nyata jelas jauh berbeza jika dibandingkan dengan keadaan di Semenanjung Malaysia.
“Di semenanjung, mereka mempunyai jalan raya dan lebuh raya yang luas yang membolehkan jentera bomba besar sampai ke lokasi kejadian dengan pantas,” ujarnya.
Namun bagi Sarawak, kata Dr. Sim keadaan jalan masih sempit dan kadangkala jentera bomba tidak dapat lalu untuk sampai ke tempat kejadian atau lokasi kebakaran.
Selain itu, Dr. Sim mendedahkan Sarawak memerlukan sebanyak 24 lagi balai Bomba dan Penyelamat untuk memastikan liputan kebakaran yang baik di negeri ini.
“Perkara ini diserahkan kepada kerajaan persekutuan,” jelasnya dan memberi jaminan akan dipertimbangkan dengan setakat ini Sarawak memiliki 34 balai Bomba dan Penyelamat di seluruh negeri.
Sementara 4 buah lagi dijangka siap iaitu di Bintangor, Sungai Asap, Sibujaya dan Sungai Plan, Bintulu.
Oleh Diyana Samsuddin