
KANOWIT: Seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari tongkang di Sungai Rajang di sini petang Selasa lalu, telah ditemui pagi tadi.
Mangsa dikenali sebagai Jamie Adong, 54, ditemui terapung kira-kira 8.57 pagi oleh orang awam pada jarak lima kilometer dari Pos Kawalan Bomba (PKB).
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak memberitahu, mangsa yang bekerja di kapal tongkang itu tidak berbaju, hanya berseluar dalam dan mempunyai tatu di lengan kanan.
“Selepas menerima maklumat daripada orang awam, pasukan bomba bersama polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) bergerak ke lokasi menggunakan bot penyelamat.
“Mayat mangsa dibawa ke jeti Pekan Kanowit sebelum disahkan sebagai individu yang dilaporkan hilang semalam oleh ahli keluarganya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada 10.30 pagi.
Operasi SAR itu melibatkan lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit diketuai PBK II Peter Jinang bersama sebuah jentera LFRT, sebuah DMAX dan sebuah bot penyelamat.
Turut serta, tujuh anggota polis, empat anggota Pasukan Polis Marin dengan sebuah bot serta lima anggota APM bersama sebuah bot.
Terdahulu semasa kejadian petang Selasa lalu, mangsa dipercayai sedang membuang air besar di hujung tongkang yang ditunda oleh sebuah bot tunda sebelum terjatuh ke sungai pada jarak kira-kira dua kilometer dari Pekan Kanowit.
Oleh Akun Giman