
LAWAS: Pertubuhan Bola Sepak Limbang (Limbang FA) membuka lembaran baharu dalam pembangunan bola sepak menerusi kerjasama strategik bersama Yakin Football League (YFL) dari Brunei Darussalam.
Timbalan Presiden Limbang FA, Frederick Lalung Ngilo, berkata visi dan matlamat YFL yang jelas dalam memartabatkan sukan bola sepak di Brunei merupakan satu semangat luar biasa yang wajar dicontohi.
“Bentuk kolaborasi yang dirancang amat dialu-alukan, dan kami sedia memberi kerjasama untuk merealisasikan setiap perancangan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan muhibah bersama Pengerusi YFL, Pengiran Zamri Pengiran Bujang di Pekan Temburong, semalam.
Frederick berkata Limbang FA teruja dengan potensi kerjasama dua hala, termasuk kemungkinan menganjur bersama kejohanan bola sepak dan futsal di Limbang.
Antara bentuk kerjasama yang dikenal pasti termasuk perancangan jangka panjang meningkatkan mutu bola sepak, penubuhan akademi bola sepak, serta pelaksanaan program jangka pendek seperti karnival bola sepak.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif YFL, Dayang Hernah Nur Imani Muhd. Jeffrey.
Oleh Adeng Edrus