TEHRAN: Kotak hitam pesawat Ukraine yang terhempas di Tehran, Iran mendedahkan juruterbang masih hidup, selepas dibedil satu dari dua peluru berpandu, lapor pegawai warga Iran pada Ahad.
Pesawat 752, sebuah jet penumpang Penerbangan Antarabangsa Ukraine terhempas ketika baru berlepas dari lapangan terbang utama Tehran pada 8 Januari lalu.
Iran pernah mengaku beberapa hari selepas insiden berkenaan bahawa pesawat Boeing 737-800 milik Ukrainian International Airlines ditembak jatuh sehingga semua 176 penumpang serta kru terbunuh.
Pertahanan udara Tehran dalam mod berjaga-jaga sekiranya Amerika Syarikat (AS) membalas serangan Iran beberapa jam sebelumnya ke atas tentera AS yang ditempatkan di Iraq.
Ketua pihak berkuasa penerbangan awam Iran pada Ahad mendedahkan untuk pertama kali apa yang terkandung dalam kotak hitam. Ia dihantar ke Perancis untuk dianalisis.
Touraj Dehghani Zanganeh berkata, perakam suara di bahagian kokpitmerekodkan perbualan antara juruterbang, juruterbang kedua dan seorang instruktor antara kedua-dua letupan itu.
“Hingga 19 saat setelah peluru berpandu pertama meletup di sekitar pesawat, (mereka) menyedari keadaan tidak normal dan berada dalam kawalan pesawat hingga saat terakhir.
“Instruktor menunjukkan bahawa persawat itu mempunyai masalah elektronik dan daya tambahan telah diaktifkan.
“Juruterbang berkenaan diberitahu bahawa kedua-dua enjin pesawat masih berfungsi,” katanya seperti dipetik oleh laman web stesen televesiyen tempatan.
Menurut Dehghani Zanganeh, kotak hitam pesawat terbabit berhenti 19 saat selepas letupan pertama, menjadikan ia mustahil untuk mengambil semula data impak bedilan peluru berpandu kedua.
Katanya, analisis mengenai kesan peluru berpandu kedua tidak dapat diperoleh dari kotak hitam.
Iran, tidak berniat untuk mengenyah-kod maklumat dari kotak hitam itu menghantarnya ke Perancis untuk dianalisis pada pertengahan Julai lalu, hampir enam bulan selepas insiden.-AFP