KUALA LUMPUR: Jabatan Audit Negara semalam mendedahkan duti import berjumlah RM50.46 juta tidak dipungut oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kerana tidak mengikut kelulusan pengecualian purity level (tahap kesucian) 99.5 peratus yang ditetapkan.
Duti import tersebut melibatkan 10 transaksi import alkohol yang digunakan sebagai bahan mentah untuk keluaran siap rebaudioside A & NSF01 oleh sebuah syarikat bagi tahun 2017 hingga 2019 (sehingga Julai) dengan nilai dagangan berjumlah RM3.14 juta.
“Semakan lanjut terhadap Borang Kastam No. 1 mendapati deskripsi barang yang diisytihar adalah alkohol pada kepekatan selain 99.5 peratus dan bukan Undenatured Ethyl, 99.5 peratus Purity Level.
“Oleh itu, pengecualian yang diberikan adalah tidak sah kerana kelulusan pengecualian adalah khusus kepada deskripsi Undenatured Ethyl, 99.5 peratus Purity Level, menyebabkan duti import tidak dipungut,” kata Jabatan Audit dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 1 yang dikeluarkan, semalam.
Jabatan Audit mengesyorkan JKDM untuk membuat kutipan balik duti import berjumlah RM50.46 juta yang tidak dipungut dengan segera. – Bernama