
GEORGETOWN: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah mengadakan pertemuan dengan Penang Women Development Corporation (PWDC) di Jawi House Café Gallery, Lebuh Armenian, di sini hari ini.
Dalam pertemuan itu, beliau merakamkan penghargaan atas sambutan mesra yang diberikan selain menyifatkan usaha PWDC dalam memperkasa kepimpinan, pembangunan kapasiti dan pemerkasaan wanita sebagai inspirasi.
“Sebagai Menteri Pembangunan Wanita di Sarawak, saya amat sehaluan dengan nilai teras yang diperjuangkan PWDC. Di JWKS, kami juga berusaha mewujudkan ekosistem kukuh supaya wanita dapat terus maju dalam bidang kepimpinan, sosial dan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau menjelaskan, mandat kementerian merangkumi pelaksanaan program pemerkasaan wanita, kesedaran dan advokasi, pengukuhan institusi kekeluargaan serta kesaksamaan gender.
Selain itu, kementeriannya turut memberi tumpuan kepada pemerkasaan ekonomi wanita, pembangunan kapasiti, akses kepada teknologi dan pembangunan keluarga secara holistik.
“Kami mengalu-alukan pertukaran ilmu dan kerjasama dengan organisasi seperti PWDC untuk memperkukuh inisiatif yang sedang dilaksanakan,” ujarnya.
Tambah beliau, antara ruang kerjasama yang berpotensi adalah dalam modul latihan kepimpinan, pertukaran mentor serta program pemerkasaan komuniti, yang diyakini mampu memberi impak besar kepada pembangunan negara.
“Terima kasih atas peluang untuk berinteraksi dan belajar daripada inisiatif cemerlang PWDC. Marilah kita bergerak bersama membentuk masa depan yang lebih cerah dengan lebih ramai wanita tampil memimpin, mempengaruhi dan membawa transformasi,” katanya.
Dato Sri Fatimah turut menegaskan bahawa jaringan kerjasama rentas negeri seperti ini mampu memperkukuh usaha kerajaan negeri dalam membina masyarakat yang inklusif, seimbang serta berdaya saing.