
SIBU: Persatuan Teknologi Maklumat Sarawak (SICTA) memainkan peranan penting dalam menyokong pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menumpukan kepada kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam berasaskan data serta inovasi.
Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, ini khususnya dalam beberapa bidang utama iaitu memperluas infrastruktur digital dan keterhubungan dengan bekerjasama bersama kerajaan serta syarikat telekomunikasi untuk menutup jurang capaian internet di luar bandar sekali gus memastikan tiada komuniti yang tercicir.
Menurutnya, dalam pembangunan modal insan, SICTA berperanan mempertingkat kemahiran belia dan tenaga kerja dalam bidang kecerdasan buatan, keselamatan siber dan sains data bagi mempersiapkan mereka menghadapi cabaran masa depan.
“SICTA juga dapat memupuk ekosistem inovasi dengan membantu menginkubasi syarikat pemula, menggalakkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta menyediakan platform bagi penyelesaian tempatan dalam sektor utama termasuk pertanian, perhutanan dan kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-25 Persatuan ICT Sarawak (SICTA) di salah satu hotel terkemuka, di sini malam tadi.
Selain itu, katanya, SICTA turut berpotensi memperkukuh kemudahan perniagaan dengan menggalakkan penerimaan teknologi digital dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), mengetengahkan piawaian keselamatan data serta memberi input dasar untuk merangsang pelaburan dan inovasi,” kata beliau.
Bagi aspek kelestarian, katanya lagi, SICTA diharap dapat menjadi peneraju kepada amalan teknologi hijau termasuk penggunaan tenaga cekap, pengurusan sisa elektronik serta penerapan penyelesaian ICT yang menyokong matlamat alam sekitar negeri.
“Sumbangan ini bukan sahaja menandakan peranan penting SICTA dalam mengukuhkan sektor ICT, tetapi juga memastikan masa depan Sarawak terus dibentuk selaras dengan aspirasi PCDS 2030,” kata beliau.
Turut hadir ialah Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Clarence Ting Ing Hort, Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Sempurai Petrus Ngelai, Pengerusi SICTA Sibu, Kong Sieng Kieng, Pengerusi Penganjur, Wong Ing Ang serta yang lain.
Oleh Akun Giman