
LAWAS: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menggesa semua pihak bertanggungjawab dalam isu telekomunikasi dapat menyelesaikan segera masalah yang timbul.
Ini melibatkan liputan telekomunikasi yang tidak stabil khusus di Lawas dan perkara ini semakin serius hingga menyukarkan rakyat di Lawas.
Beliau turut mengambil maklum rungutan rakyat di Lawas dan mahu tindakan sewajarnya dilakukan bagi membolehkan mereka menikmati liputan telekomunikasi yang baik untuk manfaat penduduk.
Sementara itu, pembinaan menara telekomunikasi di Sarawak harus dibina di lokasi selamat untuk orang awam.
“Ada juga isu yang mengatakan jika menara telekomunikasi ini terlalu dekat dengan rumah akan menghasilkan radiasi yang menjejaskan kesihatan. Rakyat mengharapkan liputan serta kepantasan perkhidmatan internet yang baik. Namun, mereka juga merasakan menara telekomunikasi tidak sepatutnya dibina di lokasi ini.
“Sedangkan pihak kerajaan telah mengambil kira semua faktor, termasuk sama ada ia mendatangkan bahaya atau tidak. Semua aspek ini diambil kira kerana kita tidak mahu hanya menyediakan kemudahan seperti ini tetapi pada masa sama menjejaskan kesihatan rakyat. Kita akan teliti segala perkara sebelum membuat keputusan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Dialog Pembangunan Telekomunikasi dan Multimedia Sarawak di Lawas semalam.

Jelasnya, pelbagai faktor telah dipertimbangkan sebelum pembinaan menara dilakukan dan orang awam tidak perlu bimbang mengenai sebarang isu yang dibangkitkan oleh sesetengah pihak.
Sarawak kini dalam usaha untuk membina lebih 7,000 menara telekomunikasi di seluruh negeri untuk meningkatkan liputan telekomunikasi dan kualiti capaian internet.
Pada majlis sama, beliau turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sarawak Multimedia Authority (SMA) bersama Agensi Nuklear Malaysia.
Usaha tersebut bertujuan memastikan pembangunan teknologi digital khusus pembinaan telekomunikasi di Sarawak menepati piawaian nasional dan selamat.
Oleh Adeng Edrus