
Penunjuk perasaan berkumpul di Singha Durbar, bangunan pentadbiran utama kerajaan Nepal, di Kathmandu pada 9 September 2025. - Foto AFP.
KATHMANDU: Bekas Perdana Menteri Nepal, KP Sharma Oli, berkata kerajaannya tidak pernah mengarahkan polis untuk melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan dan menggesa siasatan ke atas keganasan yang meragut sekurang-kurangnya 73 nyawa.
Dalam kenyataan pertamanya selepas meletak jawatan Selasa lalu, bekas Perdana Menteri berusia 73 tahun itu berkata, terdapat penghasut yang mencetuskan pertumpahan darah ketika protes yang dipimpin belia melanda negara Himalaya itu, bermula 8 September lalu.
Demonstrasi itu tercetus berikutan larangan penggunaan media sosial sementara, namun disemarakkan lagi oleh kemarahan terhadap rasuah dan masalah ekonomi yang telah lama berlaku.
Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh pada hari pertama.
“Mereka (penghasut) yang menyusup dalam kalangan pemprotes telah menghasut keganasan, mengakibatkan kehilangan nyawa tragis anak-anak muda,” kata Oli dalam hantaran Facebooknya.
“Kerajaan tidak mengeluarkan arahan untuk menyasarkan penunjuk perasaan dan melepaskan tembakan,” kata Oli, ketika negara itu menyambut Hari Perlembagaannya, Jumaat lalu.
Sekumpulan perusuh merosakkan pejabat kerajaan, membakar hotel Hilton yang baru dibuka dan menyerang simbol pihak berkuasa lain, termasuk kediaman Oli sendiri, ketika kemarahan melanda bandar-bandar.
Sesetengah penunjuk perasaan dilihat memegang senapang automatik pada hari kedua pergolakan itu.
“Siasatan perlu dilakukan ke atas insiden penggunaan senjata automatik yang tidak dimiliki oleh polis,” kata Oli dalam hantarannya.
“Saya tidak akan memperkatakan banyak mengenai konspirasi di sebalik perkara ini hari ini, masa akan menentukannya sendiri,” katanya lagi.
Oli tidak kelihatan di khalayak umum sejak penyingkirannya, dengan sekutunya berkata beliau berada di bawah perlindungan tentera.
“Beliau berada di bawah perlindungan tentera dan kembali semalam,” kata rakan partinya, Agni Kharel dari CPN-UML kepada AFP.
Penggantinya, Perdana Menteri Sushila Karki, 73, bekas Ketua Hakim, telah ditugaskan untuk memulihkan ketenteraman dan menangani tuntutan penunjuk perasaan untuk masa depan bebas rasuah menjelang pilihan raya dalam tempoh enam bulan.
“Demonstrasi dan pergerakan yang dipimpin oleh belia mencerminkan aspirasi generasi muda kita, kesedaran awam yang semakin meningkat dan ketidakpuasan hati terhadap rasuah yang berleluasa di negara ini,” kata Karki dalam ucapannya sempena Hari Perlembagaan negara itu.
“Jentera negara perlu (berfungsi) selaras dengan aspirasi dan harapan rakyat,” katanya.-AFP