NUR AIN OTSMAN
KUCHING: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak menyumbangkan pencuci tangan pembasmi kuman kepada petugas barisan hadapan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), semalam.
UiTM Sarawak diwakili oleh Rektornya Prof Datuk Dr Jamil Hamali menyerahkan sumbangan tersebut kepada Datuk Bandar DBKU Datu Junaidi Reduan.
“Sumbangan ini amat bermakna kepada pasukan penguatkuasaan, keselamatan dan perlesenan DBKU dalam menjalankan tugas mereka ketika berhadapan dengan Covid-19,” kata Junaidi pada majlis ringkas di Bilik Gerakan DBKU Jalan Depo di sini.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak UiTM Sarawak kerana menyumbang pencuci tangan pembasmi kuman berkenaan yang mana amat sukar diperolehi ketika ini.
“Barisan hadapan perlu dibantu memandangkan mereka menjalankan proses sanitasi setiap hari.
“Lebih 50 tempat awam dan ibadah kawasan DBKU telah disanitasi. Oleh sebab itu penjagaan kebersihan dan langkah perlindungan seperti pencuci tangan ini amat diperlukan,” jelasnya lagi.
Penularan wabak COVID-19 ini telah menyaksikan keperluan serta permintaan terhadap bahan asas seperti topeng muka dan hand sanitizer makin meruncing.
UiTM Sarawak tidak ketinggalan untuk menyumbang kepada usaha menghasilkan hand sanitizer keluaran sendiri dengan menggunakan kepakaran di kalangan staf Pusat Pengajian Sains Gunaan UiTM Kampus Samarahan 2 dan fasiliti yang sedia ada bagi menampung keperluan di hospital-hospital tempatan.