
NEW YORK: Tiga anggota polis maut manakala dua lagi cedera dalam insiden tembakan di York County, Pennsylvania, Amerika Syarikat pada Rabu, lapor Xinhua.
Menurut laporan CBS, kejadian berlaku sejurus selepas 2 petang waktu tempatan di North Codorus Township.
Empat anggota polis berkenaan ialah pegawai Jabatan Polis Serantau Northern York County, manakala seorang lagi ialah timbalan syerif York County.
Tiga daripada mereka meninggal dunia akibat kecederaan manakala dua yang lain terselamat, kata pihak berkuasa.
Kejadian berlaku ketika pasukan polis menjalankan tugas menyerahkan waran di kawasan terbabit sebelum seorang suspek mengeluarkan senjata api dan melepaskan tembakan ke arah mereka, menurut pegawai berkenaan.
Pasukan Polis Negeri Pennsylvania sedang menjalankan siasatan berhubung insiden itu.
Dalam satu hantaran di media sosial, Gabenor Pennsylvania Josh Shapiro berkata beliau telah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan meminta orang ramai di kawasan terbabit mematuhi arahan polis negeri serta pegawai tempatan.
Timbalan Gabenor Pennsylvania, Austin Davis turut menyeru orang ramai agar mendoakan keselamatan “anggota polis dan semua yang terlibat dalam insiden tembakan terbabit.”– Bernama-Xinhua