





KUCHING: Kerajaan Sarawak menggesa pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) di Sarawak untuk mengambil maklum serta memanfaatkan sepenuhnya pelbagai inisiatif pendidikan diperkenalkan kerajaan negeri.
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Datuk Fazzrudin Abdul Rahman berkata pelajar harus meneliti peluang disediakan dan memohon bantuan yang bersesuaian.
“Kami juga bawa maklumat tentang inisiatif dilaksanakan Kerajaan Sarawak kepada pelajar-pelajar di IPTA dan IPTS serta inisiatif yang boleh mereka mohon untuk manfaat mereka,” katanya selepas menghadiri taklimat inisiatif pendidikan kerajaan negeri di Univerisiti Swinburne di sini hari ini.
Sebelum ini, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dilaporkan berkata bermula tahun depan kerajaan negeri dijangka menanggung kos melebihi RM400 juta untuk pelaksanaan inisiatif pendidikan tinggi percuma.
Abang Johari berkata walaupun kosnya tinggi, kerajaan negeri tetap komited melaksanakan inisiatif berkenaan demi masa depan anak-anak Sarawak, khususnya pelajar di lima institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri.– Bernama