







ALLYSON Mei Ee, 25, dinobatkan sebagai Miss International Malaysia 2025 pada pertandingan akhir yang berlangsung di Pusat Konvensyen HGH, Jalan Sentul malam tadi. Allyson, 25, atau nama sebenarnya Allyson Mei Ee, melahirkan rasa syukur selepas dinobatkan sebagai Miss International Malaysia 2023, sekali gus berpeluang memperkenalkan kekayaan budaya dan kepelbagaian rakyat negara ini di pentas dunia. Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Teka-teki siapa wakil Malaysia ke pertandingan Miss International 2025 di Jepun pada November depan, terjawab semalam apabila jurutera kimia Allyson Ee diumumkan sebagai Miss International Malaysia 2025.
Menunjukkan prestasi dan persiapan yang sangat baik sepanjang pertandingan itu, wakil Johor tersebut menewaskan 11 peserta lain untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.
Naib johan disandang oleh wakil Kelantan Yap Wen Wei, manakala tempat ketiga menjadi milik peserta dari Selangor Chua Jian-Vern.
Allyson, 25, atau nama sebenarnya Allyson Mei Ee, menzahirkan rasa syukur atas kemenangannya dan teruja kerana bakal berpeluang memperkenalkan kepelbagaian dan kekayaan budaya rakyat Malaysia di pentas dunia.
“Saya gembira kerana akan dapat mempertontonkan kepelbagaian kita kepada dunia agar mereka juga dapat belajar daripada perpaduan kita,” katanya kepada Bernama selepas pertandingan berkenaan di sini.
Tambahnya, beliau juga bersyukur dapat membuktikan betapa pentingnya sikap percaya pada diri sendiri dalam melakukan sesuatu, kerana katanya tidak kira setinggi mana pendidikan seseorang, ataupun sebanyak mana sumber yang ada, usaha tidak akan menjadi realiti jika tidak ada keyakinan pada diri sendiri.
Gadis campuran Malaysia dan Filipina itu berkata latar belakangnya melambangkan identiti rakyat Malaysia yang meraikan kepelbagaian bahasa, budaya dan tradisi, sekali gus menjadikan beliau lebih berbangga dapat membawa imej wanita negara ini di pentas antarabangsa.
“Pencapaian pada malam ini ialah impian yang menjadi kenyataan buat saya. Selepas ini saya tidak tahu ke mana arah saya, mungkin saya kekal dalam bidang kejuruteraan atau mungkin beralih ke bidang kecantikan dan hiburan. Kita tengok nanti,” katanya.
Allyson juga pernah bertanding di Miss Universe Philippines 2025 mewakili Caloocan City dan memenangi anugerah Pakaian Kebangsaan Terbaik.
Pada Miss International 2023, wakil negara Cassandra Yap melakar sejarah negara apabila berjaya menempatkan Malaysia dalam kelompok 15 Terbaik, menamatkan penantian selama 58 tahun. – Bernama