
BINTULU: Suasana meriah mewarnai perkarangan Dewan Suarah Bintulu apabila sekitar 3,000 peserta pelbagai peringkat umur menyertai Larian Hari Malaysia 2025, pagi tadi.
Pelepasan larian sejauh enam kilometer itu disempurnakan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah yang juga Menteri Bertanggungjawab Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.
Laluan larian kali ini lebih istimewa apabila peserta berpeluang merentasi Jambatan Tun Taib Mahmud yang menjadi mercu tanda ikonik Bintulu, sekali gus menyuntik semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat setempat.

Acara yang dimulakan dengan senamrobik sebagai pemanas badan itu bukan sahaja menyemarakkan sambutan Hari Malaysia peringkat negeri, malah menzahirkan semangat perpaduan serta kecintaan terhadap negara.
Larian ini merupakan antara pengisian utama sambutan, yang kemuncaknya dijadualkan berlangsung malam ini.
Turut hadir memeriahkan acara, isteri kepada Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom iaitu Datin Sri Loretta Sawot, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki bersama isteri Datin Amar Baduyah Bujang serta beberapa Timbalan Menteri Kabinet Sarawak.
Oleh Carolyne Utih