
TATAU: Pasukan Armada 67 milik Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Jepak mencipta kejutan manis apabila mencatat pencapaian cemerlang dalam penyertaan sulung mereka di Regata Tatau 2025, yang diadakan sempena Pesta Tatau.
Pasukan itu menamatkan perlumbaan dengan membawa pulang lapan piala termasuk gelaran johan, sekali gus membuktikan keupayaan mereka bersaing hebat dengan pasukan berpengalaman dari seluruh Sarawak dan Brunei.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, kejayaan itu membuktikan semangat belia dan masyarakat setempat dalam mengekalkan warisan sukan tradisional perahu bidar, selain berpotensi menjadi pemangkin aktiviti ekonomi di Daerah Tatau.
“Alhamdulillah, Armada 67 mempunyai prestasi yang agak luar biasa kerana ini adalah penyertaan pertama mereka di Pesta Tatau.

“Kita beri peluang kepada golongan pemuda dan yang lebih berusia untuk bergabung menimba pengalaman bersama.
“Pada masa sama, kita mahu golongan belia kekal aktif dalam sukan perahu bidar yang merupakan warisan masyarakat.
“Dengan ini, kita berharap agar warisan ini terus berkekalan,” katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Regata Tatau sempena Pesta Tatau 2025 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Iskandar turut mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa penganjur yang berjaya menarik penyertaan ramai termasuk pasukan dari luar Sarawak dan negara Brunei, sekali gus memeriahkan pesta yang mulai tahun ini dianjurkan secara dwitahunan.
Ujarnya, sambutan luar biasa pengunjung tahun ini membuktikan Pesta Tatau berpotensi menjadi acara pelancongan utama yang dapat merancakkan lagi sektor pelancongan dan ekonomi setempat pada edisi akan datang.
Oleh Carolyne Utih