
LONDON: Lawatan kajian ke Family Hubs di London, Wandsworth membuka ruang kerjasama strategik dan memberi panduan penting membangunkan kerangka pendidikan awal kanak-kanak di masa depan, sekali gus menyokong kualiti hidup dan perkhidmatan inklusif untuk semua rakyat Sarawak.
Lawatan itu juga meninjau bagaimana Family Hubs di Wandsworth memberi sokongan kepada kanak-kanak dan keluarga melalui penyepaduan perkhidmatan kesihatan, pendidikan serta komuniti di bawah satu bumbung.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus berkata, lawatan tersebut turut menekankan bagaimana pendekatan Family Hubs selaras dengan strategi nasional Best Start for Life, yang menumpukan usaha memberi permulaan terbaik kepada kanak-kanak dengan menyokong seluruh keluarga.
“Sepanjang lawatan, delegasi telah berinteraksi dengan keluarga, kakitangan serta rakan kerjasama seperti jururawat kesihatan, ‘Places to Be, Rackets Cubed, Family Nurse Partnership’ dan pusat kanak-kanak.
“Saya berbesar hati melihat sendiri bagaimana Family Hubs di Wandsworth melaksanakan sokongan komprehensif dan mudah diakses untuk kanak-kanak serta keluarga.
“Pendekatan bersepadu yang menggabungkan pelbagai perkhidmatan di satu lokasi sangat menginspirasikan dan memberi pelajaran berharga untuk kita bawa pulang dalam memperkukuh sistem sokongan keluarga di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Ahli Majlis Kabinet bagi Kanak-Kanak, Judi Gasser, turut menyatakan penghargaan atas lawatan delegasi Sarawak.
“Kami berbangga dapat memperkenalkan usaha yang dijalankan di Family Hubs, yang menempatkan kanak-kanak dan keluarga sebagai pusat utama perkhidmatan kami.
“Lebih 4,723 keluarga terlibat setiap tahun, adalah satu penghormatan untuk berkongsi pendekatan ini dengan rakan antarabangsa dan mengetahui bahawa apa yang kami bangunkan di Wandsworth boleh menjadi inspirasi amalan terbaik di seluruh dunia,” katanya.
Jelasnya, perkara ini sejajar dengan aspirasi Sarawak untuk mencapai status negeri maju menjelang 2030 dengan mengadakan satu lawatan kajian ke Roehampton Family Hub bagi memperkukuh usaha ke arah keterangkuman sosial dan pembangunan pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti.