Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Dewan Negara ditangguh, 19 rang undang-undang diluluskan
  • NASIONAL

Dewan Negara ditangguh, 19 rang undang-undang diluluskan

Utusan Sarawak 2 days ago
MESYUARAT Dewan Negara yang berakhir hari ini selepas bersidang selama 10 hari sejak 25 Ogos lepas meluluskan sebanyak 19 rang undang-undang (RUU). Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Dewan Negara yang berakhir hari ini selepas bersidang selama 10 hari sejak 25 Ogos lepas meluluskan sebanyak 19 rang undang-undang (RUU).

Antaranya ialah RUU Pekerja Gig 2025, RUU Perolehan Kerajaan 2025, RUU Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2025, RUU Pendaftaran Negara (Pindaan) 2025, RUU Pendidikan (Pindaan) 2025, RUU Pelesenan Tenaga Atom (Pindaan) 2025 serta usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Persidangan kali ini turut menyaksikan tiga Ahli Dewan Negara mengangkat sumpah jawatan iaitu tokoh aktivis belia merangkap Ketua Cabang PKR Rembau Dr Jufitri Joha, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP Datuk Wu Him Ven dan veteran DAP Datuk Leong Ngah Ngah.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah dalam ucapan penangguhan berkata, persidangan kali ini turut menyaksikan Jawatankuasa Pilihan Khas Semakan Undang-Undang telah membentangkan sebuah penyata yang meneliti 10 RUU, sekali gus menggambarkan usaha berterusan jawatankuasa itu untuk membantu ahli-ahli menjalankan fungsi legislatif secara lebih menyeluruh.

“Penyertaan aktif jawatankuasa dalam membuat penelitian, kajian, pemerhatian serta syor melalui penyata membuktikan dewan ini bukan sekadar wadah perbahasan, tetapi turut memainkan peranan strategik dalam proses penggubalan undang-undang negara,” katanya.

Awang Bemee turut berharap Ahli Dewan Negara yang bakal menghadiri Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN Ke-46 (AIPA) dari 16 hingga 22 Sept ini dapat berkongsi pengetahuan dan amalan terbaik dalam membina jaringan kerjasama antara Parlimen ASEAN.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada dua Senator yang akan menamatkan perkhidmatan penggal pertama mereka iaitu Senator Datuk Ros Suryati Alang dan Senator Tan Sri Dr Mohamed Haniffa Abdullah, masing-masing pada 26 Sept ini.

Persidangan dewan ditangguhkan ke suatu tarikh yang tidak ditetapkan kelak.

-BERNAMA

Tags: Nasional

Continue Reading

Previous: Kerajaan kuat kuasa tiga akta tangani isu bunuh diri hari ini
Next: Amaran hujan lebat, ribut di hampir seluruh Semenanjung, Sarawak – MetMalaysia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.