KUCHING: Keberkesanan sesebuah utiliti adalah satu perkara yang penting dan cara mudah bagi melihat sama ada sesebuah kerajaan tersebut adalah efektif.
Menteri Utiliti, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, bukan hanya utiliti dari segi air, bekalan elektrik dan juga sistem komunikasi yang baik adalah penentu sama ada kerajaan kita telah melakukan sistem penyampaian yang efektif.
“Ini kerana, utiliti adalah perkara yang sensitif, seperti bekalan air yang mana kita perlukan air saat kita dilahirkan di dunia ini.
“Sehari tanpa air, masyarakat akan berasa tidak senang dan dari sinilah mereka akan melihat sama ada pihak kita dapat memenuhi tanggungjawab dalam meastikan bekalan air sentiasa ada,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Pencapaian Cemerlang (APC) Kementerian Utiliti di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Katanya, projek bekalan air dan juga projek rakyat yang masih dalam proses pelaksanaan tetapi sebahagiannya telah berjaya diselesaikan.
“Antaranya, isu bekalan air di Siburan, Kabong, Meradong, Balingian, Sg Asap, Asajaya dan sebahagian besar di Sadong Jaya.
“Ini mungkin satu kejayaan kecil namun bagi kita ia adalah satu kejayaan yang memberikan sesuatu yang terbaik,” ujarnya.
Beliau turut menasihatkan warga kementerian untuk sentiasa mengambil tahu dan menerima apa juga keluhan masyarakat.
“Kita harus menerima keluhan atau rungutan mereka, tidak kira sama ada ia mempunyai isi atau tidak.
“Jika informasi itu tidak penting, maka kita perlu memaklumkan kepada pihak yang menyalurkan maklumat itu, ia adalah tidak benar.
“Ini kerana ada pihak sekarang yang cuba memutar belitkan keadaan dan menimbulkan isu bagi mengeruhkan keadaaan walaupun ia tidak berkaitan dengan kita,” kata Rundi.
Pada majlis sama, seramai lapan orang pegawai dan kakitangan kementerian menerima APC bagi 2019.
Rundi turut menggesa semua kakitangan untuk terus mengekalkan momentum kecemerlangan dan standard yang telah berjaya dicapai malah sentiasa berusaha meningkatkan kecemerlangan.
Oleh Alexandra Lorna