KUCHING: Sebanyak lapan rakyat Sarawak yang terkandas di Nigeria selamat dibawa pulang oleh Kerajaan Malaysia dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kejayaan membawa pulang lapan orang rakyat Malaysia yang terkandas di Nigeria itu merupakan satu kejayaan yang amat disyukuri selepas lebih lima bulan mereka terkandas akibat pandemik Covid-19 yang melanda dunia.
“Mereka terkandas di negara tersebut kerana urusan kerja dan usaha membantu mereka giat dilakukan melibatkan rundingan di peringkat pimpinan negara antara Malaysia dengan Nigeria yang diketuai oleh saya dan Kedutaan Malaysia di Nigeria
“Selama terkandas di sana, Kedutaan Malaysia sangat membantu dari segi tempat tinggal, makan minum dan juga proses pulang ke tanah air,” katanya yang juga Ahli Parlimen Santubong dalam kenyataan, semalam.
Wan Junaidi juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Nigeria serta Kedutaan Besar Malaysia di Nigeria dan juga Konsul Kehormat Malaysia di Nigeria atas bantuan yang dihulurkan bagi memastikan misi ini berjaya dilaksanakan.
Beliau juga mengingatkan kepada semua yang pulang ke Malaysia ini supaya mengikuti arahan kerajaan untuk tempoh 14 hari kuarantin wajib setelah tiba di Sarawak.
Sementara itu, salah seorang yang terkandas, Aloh Buyai berkata perasaannya gelisah bercampur baur dengan bimbang kerana terkandas di negara orang.
Tambahan pula ketika itu katanya, mereka diberitahu bahawa lapangan terbang di Lagos, Nigeria hanya akan beroperasi pada bulan Oktober.
“Namun perasaan itu bertukar gembira apabila diberitahu kami boleh pulang lebih awal.
“Saya amat berterima kasih kepada semua pihak terutamanya Dato’ Sri Wan Junaidi, kedutaan Malaysia di Nigeria dan semua pihak yang membantu kami hingga kami selamat tiba ke tanah air,” katanya.
Aloh berkata, selepas insiden itu beliau tidak akan meninggalkan tanah air lagi selepas ini.
“Biarlah saya mencari rezeki dan kerja di Malaysia sahaja,” katanya lagi.
Manakala seorang lagi rakyat Malaysia yang terkandas, July Jantan turut mengucapkan syukur kerana akhirnya berjaya pulang ke tanah air.
“Sepanjang terkandas di Nigeria, saya sentiasa berdoa supaya kami semua boleh kembali segera ke Malaysia.
“Perasaan gusar, risau dan tambahan pula kerisauan dengan timbulnya pelbagai penyakit di sana membuatkan saya makin tidak tentu arah dan ini merupakan pengalaman yang tidak akan dapat saya lupakan,” ujarnya.
Oleh Zarina Abdullah