
LIMBANG: Angkatan Pertahanan Awam (APM) terus memantau kawasan berisiko banjir berikutan hujan kerap berlaku di daerah ini terutama pada sebelah petang.
Dua kawasan yang dikenal pasti berisiko adalah Batu Danau, khususnya di Kampung Tanjong dan Ukong.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang, Bonnie Madisun, berkata pemantauan dilakukan oleh sepasukan anggota yang diketuai oleh Mohd Arif Midun pada 9.46 pagi tadi.
Tambah beliau, paras air di Kampung Tanjong naik setinggi setengah kaki namun trend menunjukkan penurunan. Sementara itu, keadaan air di kawasan Ukong berada pada paras normal dan keseluruhan pemantauan menunjukkan keadaan terkawal.
“Tiada insiden kecemasan dilaporkan sepanjang tempoh pemantauan yang berakhir pada 12.04 tengah hari,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut menasihati penduduk di kawasan terjejas agar sentiasa peka dan berwaspada dengan perkembangan cuaca serta keadaan semasa.