

OPERASI pihak bomba menyelamat mangsa yang terlibat dengan kemalangan kendiri di Jalan Selabi – Kampung Sorak Melayu.
SERIAN: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera ringan selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan kendiri di Jalan Selabi – Kampung Sorak Melayu, di sini, malam ini.
Menurut Komander Operasi, Rosnani Malong, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian menerima panggilan kecemasan pada 9.01 malam sebelum tujuh anggota bersama sebuah Jentera Penyelamat dan Pemadaman Kebakaran (FRT) dan sebuah unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) telah dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang dinaiki dua lelaki.
“Pemandunya mengalami kecederaan ringan manakala penumpang disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi,” katanya dalam satu laporan yang dikeluarkan, malam ini.
Tambah beliau, kedua-dua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di tempat kejadian.
“Jasad mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Kerja-kerja membilas bagi membersihkan sisa kemalangan turut dilakukan sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 10.22 malam,” ujarnya.