
LIMBANG: Golongan muda perlu lebih berhati-hati dan tidak mudah terperdaya dengan sebarang tawaran yang meragukan bagi mengelak mereka dijadikan ‘keldai dadah’.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata ramai golongan muda termasuk anak-anak Limbang terpalit dengan keldai dadah sehingga terperdaya dengan sindiket keldai dadai di luar negara.
“Ini bukannya perkara menakutkan kerana ini sudah keluar dalam media masa, anak-anak Limbang menjadi keldai dadah sehingga ditahan di luar negara.
”Saya minta kepada ibu bapa, jagalah anak-anak jangan terperdaya dengan pujuk rayu yang tiada kepastian, ” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan dan perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Limbang hari ini.
Katanya lagi, Islam mengajar umatnya bahawa pembangunan bukan hanya tentang kemajuan fizikal tetapi juga kemajuan rohani dan akal.
Islam katanya menekankan konsep imarah yang membangunkan dunia tanpa mengabaikan akhirat.
Beliau menambah sebagai umat Islam Sarawak perlu menerajui pembangunan yang seimbang, lestari dan berpaksikan nilai-nilai Ilahi kerana Islam agama pembangunan yang seimbang antara rohani, intelektual dan kemajuan material.
Pada program itu kira-kira 6,000 peserta melibatkan 78 kontinjen merangkumi sekolah rendah, menengah, kampung, surau dan masjid serta persatuan menyertai perarakan kali ini.
Oleh Adeng Edrus