
KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan Projek Rangkaian Jalan Eaya Sarawak-Sabah (SSLR) Fasa 2 pada 11 September ini, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata majlis perasmian akan berlangsung di satu daripada lokasi jajaran SSLR Fasa 2 di Limbang yang kini dalam peringkat pembinaan, dengan turut dijadual dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Setakat ini dicadangkan tarikh 11 September ini. Kita sudah hantar undangan dan setakat hari ini sudah ada kepastian untuk Perdana Menteri dan Premier Sarawak hadir ke satu lokasi di jajaran SSLR Fasa 2 di sekitar Limbang, untuk buat perasmian.
“Bulan ini genap setahun surat setuju terima (SST) diberikan kepada syarikat yang melaksanakan kerja pembinaan jalan itu,” katanya pada sidang media selepas majlis Sesi Libat Urus Industri Pengurusan Fasiliti Sarawak 2025 di sini hari ini.
Projek SSLR merupakan antara projek strategik bagi meningkatkan rangkaian jalan raya di kawasan pedalaman Borneo Malaysia, sekali gus memperkukuh kesalinghubungan antara kedua-dua negeri.
Projek yang menyediakan rangkaian jalan raya menghubungkan Limbang, Miri, Lawas dan Sabah tanpa melalui Brunei itu diluluskan secara berfasa oleh kerajaan Persekutuan pada 2021.
Berdasarkan laman web Kementerian Kerja Raya, projek SSLR Fasa 2 melibatkan pembinaan jajaran baharu dan menaik taraf jalan sedia ada sepanjang 322 kilometer yang akan menghubungkan bandar Lawas ke Limbang seterusnya ke pekan Mulu tanpa melalui Brunei.
SSLR Fasa 2 ini juga dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk di kawasan utara Sarawak, memudahkan mobiliti penduduk, merancakkan aktiviti ekonomi serta mengurangkan kebergantungan kepada laluan yang melalui negara jiran.
-Bernama