KUCHING: Usahawan muda digalakkan menceburi bidang perikanan seperti aktiviti ternakan ikan dalam sangkar.
Pengarah Perikanan Laut Sarawak, Bohari Leng berkata, ia juga merupakan dasar Kementerian Pertanian dan industri makanan selain juga Jabatan Bekalan Malaysia dan Jabatan Perikanan Sarawak khususnya menggalakkan belia terlibat dalam aktiviti perikanan.
“Yang pertama, contoh seperti aktiviti ternakan ikan dalam sangkar. Kita memang memerlukan penyertaan daripada belia yang berminat,” katanya ketika ditanya pemberita pada Program Perlepasan Benih Ikan Ke Perairan Umum di Tebing Sungai Kampung Telaga Air Kuching, di sini, kelmarin.
Bohari berkata, jika para belia berminat, mereka kena memohon lesen terlebih dahulu daripada Jabatan Perikanan.
“Jabatan Perikanan akan membantu dari segi motivasi kepada mereka seperti bantuan benih, makanan dan juga beberapa sangkar yang boleh diberi kepada mereka sebenarnya kalau mereka betul-betul berminat dan juga untuk belia menceburkan diri dalam aktiviti tangkapan.
“Seperti saya kata tadi bahawa kita memerlukan belia kerana pada hari ini mungkin apabila pemilik bot ada yang telah uzur, jadi kita perlu orang-orang baharu untuk terlibat dalam industri perikanan,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Bohari berkata, kalau mereka memerlukan kemahiran, mereka perlulah kerja di atas bot dahulu barulah ada kemahiran.
“Mereka boleh menjadi kru bot atau mengikut kuota yang telah kita berikan.
“Apabila mereka berminat, mereka perlu fokus sebab kerja sebagai nelayan ini memang ada pendapatan yang konsisten.
“Ada tinggi dan ada rendah bergantung kepada tanggkapan yang kita buat tapi kena usaha. Mana-mana kerja pun kita kena usaha jadi kita mahu belia kita melibatkan diri dalam aktiviti perikanan.
Tambah beliau, para belia boleh memohon kursus dan juga latihan jangka masa pendek seperti skim Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
Oleh Cheryl Law